UMNO gesa Kuin tarik balik keputusan
ALOR SETAR -Biro Pendidikan UMNO Negeri Kedah kesal dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung keputusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang menggantung pengajian lima penuntut dan seorang lagi didenda serta diberi amaran berikutan terbabit dalam demonstrasi membantah pengambilalihan bangunan Tahfiz untuk dijadikan Sekolah Insan Bestari.
Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, tindakan terbabit disifatkan sebagai menindas penuntut apabila Kerajaan Negeri merestui tindakan tatatertib itu tanpa budi bicara.
Menurutnya, keputusan Kuin yang disokong oleh Azizan selaku Pengerusi Kuin untuk mengambil tindakan ke atas penuntut terbabit sehingga seorang daripadanya digantung pengajian selama dua semester, disifatkan sebagai keterlaluan.
“Ini menidakkan sama sekali kebebasan bersuara dan demokrasi yang kononnya diperjuangkan Pas sebelum ini,” katanya.
Berikutan itu, Biro Pendidikan mendesak Azizan mengarahkan Kuin menarik semula tindakan tatatertib itu dan membenarkan semua penuntut terbabit mengikuti pengajian semula seperti biasa.
No comments:
Post a Comment