Wednesday 30 November 2011

Pembangkang Puji Kerajaan Negeri

Ladang Rakyat.flv

Kuari bijih besi jadi hasil baru kerajaan negeri

ALOR SETAR – Bajet 2012 sebanyak RM1.008 billion untuk kepentingan rakyat dapat ditampung dengan sumber hasil baru yang diperolehi oleh kerajaan negeri, iaitu hasil kuari bijih besi.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, hasil daripada kajian yang dilakukan Jawatankuasa Hasil, terdapat 80 juta tan metrik bijih besi dalam tanah untuk dihasilkan, hanya melibatkan tanah di bawah Permodalan Kedah Berhad (PKB).

“Di bawah tanah PKB saja, kita ada 80 juta tan metrik yang perlu dikeluarkan, oleh itu saya boleh buat bajet besar sikit.

“Kalau satu tan RM50, maknanya 80 juta dapat RM400 juta, kerajaan dapat lima peratus daripada RM400 juta itu,” ujar beliau kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Dewan Undangan Negeri, di sini.

Sumber hasil bumi ini dipercayai terdapat di daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Pendang dan ianya mendapat permintaan antarabangsa terutama Cina.

Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas untuk mempercepatkan proses perlombongan dapat dilakukan dengan secepat mungkin, yang mana hasilnya dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

“Kita telah buat satu pasukan petugas macam mana nak cepatkan, bila lagi cepat kita beri kelulusan dan kebenaran, maka kita akan dapat hasil cepat,” ujar beliau.

Sejak kerajaan lalu, peruntukan jalan Pusat tidak diguna sepenuhnya untuk jalan

ALOR SETAR – Kelulusan yang diberi oleh kewangan untuk kos penyelenggaraan jalan mengikut permintaan oleh pihak JKR bukan berdasarkan jumlah wang peruntukan yang diterima.

Menerusi jumlah yang dibenarkan iaitu RM55 juta, sebanyak RM42.687.970 telah dibelanjakan untuk menguruskan kos-kos penyelenggaraan jalan di peringkat daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi berkata, tanggungjawab penyelenggaraan jalan telah diserahkan kepada Syarikat Bina Kuari dan Seri Temin untuk tempoh selama dua tahun. Kontrak kedua-dua syarikat berkenaan telah tamat pada Mei 2010. Walau bagaimana pun kontrak tersebut telah dilanjutkan sehingga Mac 2011.

“Dakwaan yang dibuat oleh Adun Kota Siputeh yang mengatakan tiada perbelanjaan penyelenggaraan jalan untuk tahun 2011 adalah tidak benar.

“Pada tahun 2011, kerja-kerja penyelenggaraan jalan masih terus dijalankan dan setakat ini kita telah membelanjakan hampir-hampir RM43 juta untuk tujuan tersebut,” jelas beliau semasa ucapan pergulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Penggal Keempat, di Wisma Darul Aman, di sini.

“Kita perlukan adakan perbincangan yang terperinci untuk mewujudkan kontrak jangka panjang yang melibatkan pihak swasta.

“Oleh kerana, kontrak baru belum dilantik, kita menyerahkan urusan tersebut kepada JKR untuk membenarkan membelanjakan peruntukan yang disediakan di peringkat daerah,” terangnya lagi.

Tambahnya lagi, kaedah pergunaan wang peruntukan kerajaan pusat telah dilaksanakan mengikut kaedah yang diamalkan sejak dulu lagi. Kelulusan yang diberi oleh pihak kewangan berdasarkan permintaan dari JKR bukan jumlah peruntukan yang diberi.

“Saya hendak berkongsi dengan sidang dewan, fakta yang ada pada saya.Pada tahun 2005 dari jumlah RM62,256,168 peruntukan kerajaan pusat, hanya RM39,612,157.75 yang dibelanjakan.

“Begitu juga pada tahun 2006, hanya 41 peratus yang dibelanjakan dari jumlah wang peruntukan, 2007 sebanyak 40 peratus, 2008 pula 35 peratus, 2009 sebanyak 37 peratus dan 2010 pula 37 peratus.

“Pada tahun 2012, kita meluluskan sebanyak 60.5 peratus yang melibatkan sebanyak RM60.5 juta,” katanya.

Sementara itu, Akaun Amanah yang sering disebut dan diragui oleh pihak Barisan Nasional, dimaklumkan beliau bahawa ianya telah wujud sejak 1 Januari 1994 untuk tujuan yang sama iaitu menyimpan wang lebihan peruntukan kerajaan pusat untuk penyelenggaraan jalan.

“Akaun Amanah itu telah wujud sejak dulu lagi di bawah Kumpulan Wang Amanah Negeri Kedah.

“Sepanjang pemerintahan kerajaan negeri sekarang, tiada sebarang laporan salah guna yang saya terima,” tegasnya.

Kanak-kanak perlu diberi didikan agama secukupnya

GUAR CHEMPEDAK – Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet sebanyak RM2.5 juta untuk kebajikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Ustazah Siti Ashah Ghazali, kewujudan Maahad Tahfiz di Kulim adalah langkah terbaik dalam usaha memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada pelajar.

“Pengambilan pelajar seramai 50 orang dilakukan untuk memastikan perjalanan pembelajaran berjalan dengan baik sebelum Maahad Tahfiz berkenaan berpindah ke Pulau Tuba, Langkawi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Kem Anak Soleh yang diadakan di Sekolah Integrasi Faizin (Saif), di sini.

YB. Ashah memberitahu, pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil adalah antara projek Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian daripada program Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta berupaya mensejahterakan rakyat,” katanya.

Tambahnya, penganjuran Kem Anak Soleh adalah antara program pembangunan insan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

Beliau menjelaskan, program yang diadakan ini merupakan satu tanggungjawab dalam usaha melahirkan satu generasi yang cemerlang di masa hadapan.

“Kem Anak Soleh akan diadakan pada setiap kali musim cuti persekolahan kerana ia terletak di bawah portfolio Pembangunan Insan, YB. Dr Ismail Salleh,” ujarnya.

Tambahnya, program yang diadakan itu dipenuhi dengan pengisian ilmu seperti ceramah anak soleh, smart solat, tip-tip solat, wuduk dan solat, riadah dan sebagainya.

“Kem Anak Soleh yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah bertujuan untuk melahirkan mutiara hati di kalangan ayah dan bonda,” katanya.

Menurutnya, ia adalah bertujuan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang secukupnya di samping mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan yang berguna.

YB. Ashah memberitahu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Selain guru, peranan ibu bapa juga amat penting dalam membentuk anak-anak agar mereka mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, Kerajaan Negeri juga turut menganjurkan Kem Bina Sahsiah yang terbuka kepada pelajar yang berumur antara 15 hingga 16 tahun.

“Kem ini diadakan pada musim cuti persekolahan yang bertujuan untuk menjalinkan semangat ukhuwah di samping memupuk semangat cintakan ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Pada majlis penutup itu, setiap peserta menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh YB. Ustazah Ashah Ghazali.

Seramai 200 murid Tahun 5 dan 6 menyertai kem berkenaan yang diadakan selama empat hari tiga malam.

Turut hadir ialah Pengarah Sekolah Integrasi Faizin (Saif) Guar Chempedak, Ustaz Mohd Ali Idris dan Pengarah Kem Anak Soleh, Ustaz Mohd Nazmi Abdul Rani.

Pelancaran Ladang Rakyat dilancar untuk kesejahteraan rakyat

KUPANG – Dalam rangka membangun tanah-tanah hutan, kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa tempat, antaranya Gunung Inas di Baling, Teloi di Sik, Bukit Raja di Kubang Pasu dan Bukit Perak di Pendang untuk ditanam semula dengan pokok getah balak yang boleh membawa keuntungan lebih dari getah biasa. Pokok getah balak yang batangnya lebih besar dan boleh digunakan untuk pembalakan selepas 20 tahun.

“Projek ini semuanya untuk rakyat, hasil dari pulangan projek berkenaan akan diserahkan kepada rakyat.

“Kedah Agro akan mengendalikannya dan hasilnya akan diagihkan kepada rakyat yang mendaftar dengan E-Sinar,” ujar Menteri Besar, YAB Dato’Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Projek Ladang Rakyat di Kampung Charok Kapas, Mukim Kupang, Baling, di sini.

Tambahnya lagi, beliau menerima laporan berlakunya pencerobohan ke atas tanah-tanah hutan terutama hutan simpanan. Mereka sanggup menggunakan jentera berat dan menjadikan tanah berkenaan sebagai ladang. Tindakan mereka seolah-olah tanah tersebut tidak dikuasai oleh sesiapa.

“Kalau orang kampung datang teroka nak buat tapak tanam durian atau rambutan, tak apalah juga, ini datang dengan mesin berat, tolak pokok, buat ladang seperti tanah di Kedah ini tiada bertuan,” celahnya.

Beliau turut menasihati agar tidak membeli tanah-tanah yang dijual oleh golongan berkenaan kerana akan menimbulkan masalah seperti hak milik dan sebagainya.

“Saya harap mereka ini ditangkap kerana mereka mencerobohi tanah milik rakyat,” tegasnya.

Beliau menjelaskan juga, cara kerajaan negeri berbeza dengan Felda. Felda memberi hak milik tanah kepada peneroka selepas 20 tahun tetapi projek Ladang Rakyat dibangunkan dan hasilnya diagih-agihkan kepada rakyat.

“Kita mengamalkan konsep bantu sehingga mereka boleh berdikari, bila mereka boleh berdikari, kita bantu orang lain pulak. Kita juga harap mereka yang kita bantu ini, suatu hari nanti boleh bantu orang lain pula,” jelasnya.

Ladang Rakyat yang akan dibangunkan melibatkan 20 ribu ekar untuk permulaan dan secara tidak langsung boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dalam majlis tersebut seramai 260 orang menerima sumbangan hasil pulangan Felcra kepada kerajaan negeri yang melibatkan kira-kira RM370 ribu. Beliau turut memaklumkan, hasil yang dibayar oleh Felcra kepada kerajaan negeri dipulangkan semula kepada rakyat . Kerajaan negeri hanya ambil untuk tujuan pembangunan sahaja dan selebihnya diserahkan kepada rakyat.

“Seramai 1,104 orang yang telah mendaftar dengan E-Sinar akan menerima pulangan ini. Di Baling sahaja melibatkan 260 orang,” katanya.

Azizan menyarankan Ladang Rakyat ditukar secara rasmi kepada Ladang Sejahtera kerana sejahtera membawa makna lebih baik.

Selain itu, beliau turut menyempurnakan upacara penanaman anak pokok getah dan dibawa melawat sebahagian kompartmen 8, Hutan Simpan Gunung Inas.

Seramai kira-kira tiga ribu hadirin termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Adun-Adun, ketua-ketua jabatan hadir meraikan majlis tersebut.

Monday 7 November 2011

MANIPULASI MEDIA

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah membincangkan pengurangan jumlah kakitangan awam, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kalau ada-mana pihak yang membangkitkan perkara itu, itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili PR," tegas beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menekankan kepada perlaksanaan pengurusan bijak dan berkesan bagi mengoptimumkan pulangan dari kakitangan awam yang ada kini.

"Jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat, adalah tidak bermakna dan sia-sia jumlah kakitangan awam yang banyak.

"Begitu juga, apa makna dan sia-sia sahaja dikurangkan jumlah kakitangan awam jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, banyak yang boleh dipelajari dari sektor korporat dan swasta mengenai kaedah-kaedah mengoptimumkan pulangan dari jumlah pekerja yang ada.

"Setakat ini, kita tidak pernah mendengar sebarang berita tentang tenaga kerja yang ada diagih-agihkan secara bijaksana dan berkesan mengikut keperluan dan tuntutan tenaga kerja untuk mengoptimumkan pulangan.

"Yang tidak henti-henti kita dengar ialah aduan-aduan awam yang berterusan tentang tindakan yang lambat, "red tape" yang berlebihan dan ada jabatan-jabatan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi dinosaur yang besar tetapi lambat bergerak sedangkan pada masa yang sama ada jabatan-jabatan yang agak kritikal dari segi tenaga kerja," katanya.

Semua itu, kata Mahfuz, bukan salah kakitangan awam tetapi salah pentadbiran dan pengurusan negara yang tidak cekap dan tidak bijak.

Lebih penting dari itu, tegas beliau, ialah memastikan ditamatkan segera campur tangan politik dalam urusan kakitangan awam.

"Jika sesuatu urusan sepatutnya membabitkan keputusan di peringkat sektor awam sahaja, mestilah dipastikan tidak ada campur tangan politik sama sekali," katanya.

Beliau yakin, pengurusan bijak dan berhemah tanpa campur tangan politik akan membantu mengatasi banyak masalah ketirisan dan kebocoran sehingga menjadi teguran Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Banyak kakitangan awam yang mengadu bahawa kebocoran, ketirisan dan pembaziran serta amalan rasuah berpunca dari campur tangan ahli-ahli politik yang berkuasa," kata beliau.

Mahfuz berharap rakyat bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi perkara itu.

"Amalan rasuah dan penganiayaan kakitangan awam seperti pendakwaan beberapa Ketua Setiausaha kementerian akibat kerja jahat ahli-ahli politik tidak akan berhenti selagi parti perasuah menjadi pemerintah.

"Kakitangan awam sendiri mestilah memilih sama ada untuk terus menjadi mangsa seperti yang berlaku ke atas beberapa Ketua Setiausaha kementerian atau memilih era baru dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan undang-undang yang memastikan kerajaan dihalang dari menganiayai rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada para jemaah haji dan selamat menunaikan ibadan korban sempena Eidul Adha.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA.

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan hari ini antara lain mendapati beberapa kementerian dan jabatan membelanjakan peruntukan untuk belanja mengurus melebihi jumlah yang ditetapkan.

Menurut laporan berkenaan, peruntukan muktamad bagi perbelanjaan mengurus bagi 2010 ialah RM149.06 bilion, bertambah sebanyak RM10.78 bilion dari jumlah asal RM138.28 bilion.

Bagaimanapun jelasnya, tambahan peruntukan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan berjumlah RM151.63 bilion, iaitu melebihi RM2.57 bilion daripada jumlah yang diperuntukkan.

Laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu berkata, mengikut peraturan kewangan, sesuatu perbelanjaan hanya boleh dilakukan jika peruntukan kewangan yang diluluskan mencukupi.

MARA

Mara ditegur beli peralatan pada harga tinggi
Di sebalik membelanjakan peruntukan RM54 juta untuk menyediakan kursus latihan bagi golongan miskin tegar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) membelanjakan wang untuk mendapatkan peralatan tertentu - seratus peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Laporan Audit 2010, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan bahawa dana yang disediakan di bawah program rangsangan ekonomi kedua untuk membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan mereka.

Berikut beberapa barang yang dilaporkan dalam laporan berkenaan:

Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan
Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100
Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90
Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79
Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60
Katil boleh lipat itu digunakan untuk kursus urutan secara tradisional bagi ibu selepas bersalin dan mesin gunting rambut digunakan untuk kursus menggunting rambut.

Laporan tersebut mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka - dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Prosedur operasi standard tidak dibentangkan sebelum lembaga pengarah MARA meluluskannya, kata laporan itu.

Laporan itu juga memberi komen bahawa Giatmara perlu menyatakan prosedur operasi standard secara mendalam dan terperinci bagi program yang hendak dijalankan di seluruh negara.

Beli peralatan, bekalan eletrik tiada

Laporan itu turut mencatatkan pembelian beberapa peralatan untuk peserta kursus yang dibuat tanpa mengambil kira keperluan yang betul.

Sebagai contoh, di Kapit, Sarawak, ketuhar dan mesin jahit disediakan tetapi tiada bekalan elektrik di pusat latihan tersebut.

Laporan itu juga mencatatkan beberapa peralatan termasuk pengadun dan pengisar yang dibeli di bawah tahap keupayaan sebenar untuk digunakan mengadun kek dan oleh itu, ia tidak boleh digunakan.

Giatmara juga membeli pengisar untuk mencampur makanan ikan dengan spesifikasi yang rendah dan peserta kursus boleh secara mudah mendapat makanan ikan di Perak.

Laporan Audit Negara mencadangkan Giatmata membuat penilaian sesuatu peralatan yang hendak dibeli mengikut kapasiti dan kesesuaian bagi mencapai hasratnya.

TEROPONG, TV LCD, DVD PLAYER, Walkie Talkie, Printer..FUHHH!!!

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang 'binocular marine' atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.

Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827.

Ia juga didapati 'terlebih bayar' RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.

Barangan lain termasuk:

Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus)
Hand-held portable VHF Transceiver berharga RM1,561 pada harga RM4,324 (lebihan 177 peratus)