Wednesday 30 November 2011

Sejak kerajaan lalu, peruntukan jalan Pusat tidak diguna sepenuhnya untuk jalan

ALOR SETAR – Kelulusan yang diberi oleh kewangan untuk kos penyelenggaraan jalan mengikut permintaan oleh pihak JKR bukan berdasarkan jumlah wang peruntukan yang diterima.

Menerusi jumlah yang dibenarkan iaitu RM55 juta, sebanyak RM42.687.970 telah dibelanjakan untuk menguruskan kos-kos penyelenggaraan jalan di peringkat daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi berkata, tanggungjawab penyelenggaraan jalan telah diserahkan kepada Syarikat Bina Kuari dan Seri Temin untuk tempoh selama dua tahun. Kontrak kedua-dua syarikat berkenaan telah tamat pada Mei 2010. Walau bagaimana pun kontrak tersebut telah dilanjutkan sehingga Mac 2011.

“Dakwaan yang dibuat oleh Adun Kota Siputeh yang mengatakan tiada perbelanjaan penyelenggaraan jalan untuk tahun 2011 adalah tidak benar.

“Pada tahun 2011, kerja-kerja penyelenggaraan jalan masih terus dijalankan dan setakat ini kita telah membelanjakan hampir-hampir RM43 juta untuk tujuan tersebut,” jelas beliau semasa ucapan pergulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Penggal Keempat, di Wisma Darul Aman, di sini.

“Kita perlukan adakan perbincangan yang terperinci untuk mewujudkan kontrak jangka panjang yang melibatkan pihak swasta.

“Oleh kerana, kontrak baru belum dilantik, kita menyerahkan urusan tersebut kepada JKR untuk membenarkan membelanjakan peruntukan yang disediakan di peringkat daerah,” terangnya lagi.

Tambahnya lagi, kaedah pergunaan wang peruntukan kerajaan pusat telah dilaksanakan mengikut kaedah yang diamalkan sejak dulu lagi. Kelulusan yang diberi oleh pihak kewangan berdasarkan permintaan dari JKR bukan jumlah peruntukan yang diberi.

“Saya hendak berkongsi dengan sidang dewan, fakta yang ada pada saya.Pada tahun 2005 dari jumlah RM62,256,168 peruntukan kerajaan pusat, hanya RM39,612,157.75 yang dibelanjakan.

“Begitu juga pada tahun 2006, hanya 41 peratus yang dibelanjakan dari jumlah wang peruntukan, 2007 sebanyak 40 peratus, 2008 pula 35 peratus, 2009 sebanyak 37 peratus dan 2010 pula 37 peratus.

“Pada tahun 2012, kita meluluskan sebanyak 60.5 peratus yang melibatkan sebanyak RM60.5 juta,” katanya.

Sementara itu, Akaun Amanah yang sering disebut dan diragui oleh pihak Barisan Nasional, dimaklumkan beliau bahawa ianya telah wujud sejak 1 Januari 1994 untuk tujuan yang sama iaitu menyimpan wang lebihan peruntukan kerajaan pusat untuk penyelenggaraan jalan.

“Akaun Amanah itu telah wujud sejak dulu lagi di bawah Kumpulan Wang Amanah Negeri Kedah.

“Sepanjang pemerintahan kerajaan negeri sekarang, tiada sebarang laporan salah guna yang saya terima,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment