Wednesday 30 November 2011

Kanak-kanak perlu diberi didikan agama secukupnya

GUAR CHEMPEDAK – Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet sebanyak RM2.5 juta untuk kebajikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Ustazah Siti Ashah Ghazali, kewujudan Maahad Tahfiz di Kulim adalah langkah terbaik dalam usaha memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada pelajar.

“Pengambilan pelajar seramai 50 orang dilakukan untuk memastikan perjalanan pembelajaran berjalan dengan baik sebelum Maahad Tahfiz berkenaan berpindah ke Pulau Tuba, Langkawi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Kem Anak Soleh yang diadakan di Sekolah Integrasi Faizin (Saif), di sini.

YB. Ashah memberitahu, pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil adalah antara projek Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian daripada program Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta berupaya mensejahterakan rakyat,” katanya.

Tambahnya, penganjuran Kem Anak Soleh adalah antara program pembangunan insan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

Beliau menjelaskan, program yang diadakan ini merupakan satu tanggungjawab dalam usaha melahirkan satu generasi yang cemerlang di masa hadapan.

“Kem Anak Soleh akan diadakan pada setiap kali musim cuti persekolahan kerana ia terletak di bawah portfolio Pembangunan Insan, YB. Dr Ismail Salleh,” ujarnya.

Tambahnya, program yang diadakan itu dipenuhi dengan pengisian ilmu seperti ceramah anak soleh, smart solat, tip-tip solat, wuduk dan solat, riadah dan sebagainya.

“Kem Anak Soleh yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah bertujuan untuk melahirkan mutiara hati di kalangan ayah dan bonda,” katanya.

Menurutnya, ia adalah bertujuan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang secukupnya di samping mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan yang berguna.

YB. Ashah memberitahu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Selain guru, peranan ibu bapa juga amat penting dalam membentuk anak-anak agar mereka mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, Kerajaan Negeri juga turut menganjurkan Kem Bina Sahsiah yang terbuka kepada pelajar yang berumur antara 15 hingga 16 tahun.

“Kem ini diadakan pada musim cuti persekolahan yang bertujuan untuk menjalinkan semangat ukhuwah di samping memupuk semangat cintakan ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Pada majlis penutup itu, setiap peserta menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh YB. Ustazah Ashah Ghazali.

Seramai 200 murid Tahun 5 dan 6 menyertai kem berkenaan yang diadakan selama empat hari tiga malam.

Turut hadir ialah Pengarah Sekolah Integrasi Faizin (Saif) Guar Chempedak, Ustaz Mohd Ali Idris dan Pengarah Kem Anak Soleh, Ustaz Mohd Nazmi Abdul Rani.

No comments:

Post a Comment