Wednesday 30 November 2011

Pelancaran Ladang Rakyat dilancar untuk kesejahteraan rakyat

KUPANG – Dalam rangka membangun tanah-tanah hutan, kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa tempat, antaranya Gunung Inas di Baling, Teloi di Sik, Bukit Raja di Kubang Pasu dan Bukit Perak di Pendang untuk ditanam semula dengan pokok getah balak yang boleh membawa keuntungan lebih dari getah biasa. Pokok getah balak yang batangnya lebih besar dan boleh digunakan untuk pembalakan selepas 20 tahun.

“Projek ini semuanya untuk rakyat, hasil dari pulangan projek berkenaan akan diserahkan kepada rakyat.

“Kedah Agro akan mengendalikannya dan hasilnya akan diagihkan kepada rakyat yang mendaftar dengan E-Sinar,” ujar Menteri Besar, YAB Dato’Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Projek Ladang Rakyat di Kampung Charok Kapas, Mukim Kupang, Baling, di sini.

Tambahnya lagi, beliau menerima laporan berlakunya pencerobohan ke atas tanah-tanah hutan terutama hutan simpanan. Mereka sanggup menggunakan jentera berat dan menjadikan tanah berkenaan sebagai ladang. Tindakan mereka seolah-olah tanah tersebut tidak dikuasai oleh sesiapa.

“Kalau orang kampung datang teroka nak buat tapak tanam durian atau rambutan, tak apalah juga, ini datang dengan mesin berat, tolak pokok, buat ladang seperti tanah di Kedah ini tiada bertuan,” celahnya.

Beliau turut menasihati agar tidak membeli tanah-tanah yang dijual oleh golongan berkenaan kerana akan menimbulkan masalah seperti hak milik dan sebagainya.

“Saya harap mereka ini ditangkap kerana mereka mencerobohi tanah milik rakyat,” tegasnya.

Beliau menjelaskan juga, cara kerajaan negeri berbeza dengan Felda. Felda memberi hak milik tanah kepada peneroka selepas 20 tahun tetapi projek Ladang Rakyat dibangunkan dan hasilnya diagih-agihkan kepada rakyat.

“Kita mengamalkan konsep bantu sehingga mereka boleh berdikari, bila mereka boleh berdikari, kita bantu orang lain pulak. Kita juga harap mereka yang kita bantu ini, suatu hari nanti boleh bantu orang lain pula,” jelasnya.

Ladang Rakyat yang akan dibangunkan melibatkan 20 ribu ekar untuk permulaan dan secara tidak langsung boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dalam majlis tersebut seramai 260 orang menerima sumbangan hasil pulangan Felcra kepada kerajaan negeri yang melibatkan kira-kira RM370 ribu. Beliau turut memaklumkan, hasil yang dibayar oleh Felcra kepada kerajaan negeri dipulangkan semula kepada rakyat . Kerajaan negeri hanya ambil untuk tujuan pembangunan sahaja dan selebihnya diserahkan kepada rakyat.

“Seramai 1,104 orang yang telah mendaftar dengan E-Sinar akan menerima pulangan ini. Di Baling sahaja melibatkan 260 orang,” katanya.

Azizan menyarankan Ladang Rakyat ditukar secara rasmi kepada Ladang Sejahtera kerana sejahtera membawa makna lebih baik.

Selain itu, beliau turut menyempurnakan upacara penanaman anak pokok getah dan dibawa melawat sebahagian kompartmen 8, Hutan Simpan Gunung Inas.

Seramai kira-kira tiga ribu hadirin termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Adun-Adun, ketua-ketua jabatan hadir meraikan majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment